Wednesday 27 February 2013

Amalan Mitoni

Artikel Amalan Mitoni telah tersiar di dalam Majalah Dewan Budaya bulan Febuari 2011


Amalan Mitoni menjadi salah satu tajuk di bahagian kulit majalah

Mitoni adalah panggilan dalam bahasa Jawa atau bermaksud tujuh bulan. Dalam bahasa melayu, mitoni dirujuk sebagai adat melenggang perut. Walaupun kini masyarakat sedang berada di dunia yang serba "canggih", namun amalan atau petua yang diperturunkan dari zaman nenek moyang ini masih lagi diamalkan. Perubahan semasa dengan teknologi yang canggih mendominasi kehidupan harian, tidak menghalang segelintir masyarakat daripada berpegang teguh kepada budaya dan adat resam.
       
Cuba cari nama saya..

       Masyarakat Jawa misalnya mempunyai berbagai-bagai adat dan pantang larang yang perlu dipatuhi. Antaranya adat lenggang perut yang masih diamalkan sehingga kini. Lenggang perut bukanlah bermakna kita "melenggangkan" perutseperti hendak melakukan senaman, tetapi merupakan satu amalan bagi menentukan jantina kandungan.

       Bidan kampung akan dipanggil untukmengetuai upacara ini dan dimulakan dengan penyediaan tujuh helai kain batik yang akan disusun ditempat pembaringan si ibu mengandung. Kemudian, ibu tersebut perlu mengangkat sedikit punggungnya unuk membolehkan bidan melenggangkan kain batik tersebut secara satu per satu, seolah-olah mengayun buaian sambil mulutnya terkumat-kamit membaca jampi serapah.

       Selepas itu, setiap kain batik tersebut akan diketepikan dan kemudian barulah bidan memegang perut si ibu dengan perlahan seolah-olah memeriksa kedudukan bayi dalam kandungan. Si ibu akan dimandikan dengan air tujuh jenis bunga, manakala air mandi tersebut pula diambil daripada tujuh jenis telaga atau kolah.



       Bidan akan menjirus si ibu sebanyak tujuh kali sahaja. Selesai mandi, si ibu akan dibaringkan semula. Sebiji kelapa muda akan di "alin" atau dilalukan di atas perut si ibu. Kemudian, kelapa tersebut akan digolekkan oleh si ayah. Ketika kelapa sedang bergolek, si ayah perlu membelah kelapa tersebut. sekiranya belahan itu menegak, maka anak dalam kandungan si ibu adalah anak lelaki. Jika belahannya menyerong sedikit, dijangka anak perempuan yang dikandungkan ibu tersebut.

        Untuk jamuan kenduri, perlu disediakan tujuh jenis kuih dan tujuh jenis ubi yang direbus. Kuih lepat pulut dan ketupat adalah makanan yang wajib bagi kenduri ini. Lepat pulut diperbuat daripada beras pulut yang digaul dengan kelapa parut,kacang dal putih dan sedikit garam yang kemudiannya dibalut dengan daun palas sebelum direbus. si ayah juga akan meminta beras daripada tujuh buah keluarganya yang terdekat. Beras itu akan digunakan untuk dimasak bagi menjamu tetamu dengan sejenis masakan. Masakan tersebut dikenali dengan nasi ambeng.

       Nasi ambeng merupakan nasi putih yang telah dimasak dan diletakkan dalam dulang yang besar bersama-sama dengan lauk-pauknya sekali. Kemudian tetamu akan makan makanan tersebut di atas dulang yang sama tanpa menggunakan pinggan. Satu dulang selalunya diperuntukkan untuk lima orang tetamu. Nasi ambeng memang terkenal dalam kenduri masyarakat Jawa. Nasi ambeng biasanya berlaukkan serunding, rempeyek, ayam goreng dibelah dua, mi atau mihun goreng, ikan masin dan sayur sambal goreng yang terdiri daripada sayur pucuk yang digoreng dengan suun dan tempe.

       Di antara dulang nasi ambeng tersebut, terdapat satu dulang yang agak "istimewa" sedikit yang akan diletakkan seekor ayam goreng yang tidak dipotong langsung. Kemudian nasi ambeng tersebut akan dihidangkan di hadapan tuk imam yang mengetuai bacaan doa kesyukuran. Dalam bahasa Jawa, ayam goreng itu disebut sebagai ayam "engkong" kerana mengetuai dulang nasi ambeng yang lain. Sekiranya nasi dan lauk yang dihidangkan tidak dihabiskan, tetamu boleh membungkus makanan tersebut untuk dibawa pulang ke rumah. Sememangnya plastik untuk membungkus makanan disediakan di tepi dulang tersebut. Tetamu juga turut dihidangkan dengan bubur merah dan cendol sebagai hidangan pencuci mulut.

       Kenduri mitoni selalunya dibuat hanya untuk menyambut kelahiran yang pertama sahaja. Sekiranya ada di antara keluarga ataupun adik-beradik yang lain turut mengandung, maka mereka perlu menukar sehelai kain batik antara satu dengan lain.

       Adat mitoni ini turut dilakukan di negara-negara lain. Cuma caranya sahaja yang berbeza. Di Thailand, mereka amat mengambil berat tentang keselamatan si ibu dan bayi dalam kandungan daripada roh jahat. Perut si ibu yang sedang mengandung akan dicat dan bidan akan menari di sekeliling ibu untuk menghalau roh-roh jahat yang dipercayai akan "mencuri" bayi dalam kandungan tersebut. Hadiah tidak boleh diberikan kepada si ibu kerana ditakuti akan menarik perhatian roh jahat.


Dua muka surat


       Di Amerika Syarikat, upacara meraikan bayi (baby showers) diadakan. Upacara tersebut hanya dihadiri oleh kaum hawa sahaja. Hadiah seperti pakaian dan aksesori bayi akan diberikan kepada si ibu. Jika si ibu yang mengandung mengizinkan, perutnya boleh disentuh oleh semua yang hadir pada upacara tersebut sebagai tanda keberkatan.

       Di India, bakal ibu akan memakai sari yang dihadiahkan oleh ibunya sendiri. Selain itu, si ibu yang mengandung juga perlu memakai barang kemas yang dihadiahi oleh ibunya sendiri, ibu mertua dan suami. Kawan perempuan yang hadir di majlis tersebut akan menyolekkan bakal ibu dan menghiasnya dengan memakaikan kalungan bunga di rambut. Sejenis cat merah yang dipanggil parani akan disapu di bahagian kaki si ibu. Inai juga turut dipakaikan di kedua-dua belah tangan dan kaki. Selesai dihias, bakal ibu akan diminta untuk duduk di sebuah kerusi yang besar dan dihias mewah. Kaum perempuan yang hadir perlu menghadiahkan gelang dan manisan kepada bakal ibu. Gelang yang dihadiahkan itu akan dipakaikan sebagai tanda membawa keberkatan agar dapat melahirkan bayi yang sihat. Kemudian, makanan dihidangkan beserta dengan persembahan nyanyian dan tarian sebagai hiburan. Persembahan tersebut hanya boleh dipersembahkan oleh kaum perempuan sahaja. Cenderahati berbentuk kain, pisang, kacaang, mata wang, manisan dan aksesori rumah, akan dihadiahkan oleh tuan rumah kepada para tetamu.

       Walaupun amalan mitoni masih diamalkan sehingga kini, terdapat beberapa perubahan yang dibuat agar bersesuaian dengan syariat Islam. Bidan tidak lagi menjampi serapah tetapi digantikan dengan bacaan doa dan selawat ke atas nabi Muhammad SAW. Selain itu, tiada lagi amalan mandi bunga dari air yang diambil dari tujuh kolah yang berlainan. Kuih-muih dan ubi rebus yang disediakan juga tidak lagi perlu dihidangkan sebanyak tujuh jenis, hanya beberapa jenis sudah memadai. Hal ini kerana untuk mengelakkan pembaziran yang sering kali berlaku. Si bapa juga tidak perlu lagi meminta beras daripada keluarga terdekat, hanya memadai dengan kemampuan keluarga tersebut.

        Kini, kebanyakkan bakal ibu lebih selesa dengan rawatan moden yang banyak diberikan. Hospital kerajaan dan swasta menyediakan khidmat nasihat bagi pasangan yang menunggu kelahiran. Doktor yang pakar dalam bidang pemakanan akan mengesyorkan pemakanan yang sihat dan seimbang untuk bakal ibu dan bayi di dalam kandungan. Aktiviti senaman ringan juga diajar sebagai persediaan awal si ibu bagi menghadapi proses bersalin dengan tenang dan senang.

No comments:

Post a Comment