Thursday 28 February 2013

Uniknya Pemberian Nama



Majalah Dewan Budaya bulan Jun 2011
Saya memiliki nama panggilan pemberian daripada Almarhumah nenda saya Hajah Rajipah binti Aswan. Hanya adik beradik dan sepupu yang betul-betul rapat sahaja yang tahu. Nak tahu apa nama panggilan itu? Baca dulu artikel ini, nanti saya beritahu ya. hehehe.....



Nama merupakan perkara penting dalam kehidupan. Sama ada manusia, benda, tumbuh-tumbuhan, binatang dan tempat mempunyai nama yang tersendiri. Sudah menjadi fitrah apabila wanita yang mengandung, pasti akan mencari nama untuk diberikan kepada anak yang bakal dilahirkan. Nama yang dipilih sudah tentu mempunyai sebutan atau makna yang menarik.

          Ada juga nama yang diberikan kepada anak yang baru lahir, tidak mempunyai makna. Asalkan bunyinya sedap didengar apabila disebut, membuatkan ibu bapa membuat pilihan yang dirasakan sesuai. dalam masyarakat Melayu lama, nama pendek seperti Abu, Amir, Ahmad, Busu, Bidin dan banyak lagi merupakan nama yang lazim diberikan kepada bayi lelaki. Untukbayi perempuan pula diberikan nama seperti Leha, Timah, Salmah, Lina dan sebagainya.

              Pada zaman dahulu, ada ibu bapa yang memberikan nama yang kurang elok kepada anak mereka seperti Buruk, Kecut, Hitam, pendek, Lampam dan sebagainya. Hal ini demikian kerana ibu bapa yang memberikan nama tersebut tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang baik buruknya nama yang diberikan. Mereka hanya mengikut perasaan atau rasa hati sahaja. Dalam masyarakat Melayu umumnya dan umat Islam khususnya, upacara memberikan nama kepada bayi selalunya dibuat pada hari ketujuh bayi dilahirkan. Majlis tersebut seiring dengan majlis aqiqah atau cukur jambul. Ibu bapa akan meminta pendapat daripada ahli agama atau bidan yang menyambut kelahiran bayi tersebut tentang nama yang dipilih.

                  Kebiasaannya, bagi anak lelaki, nama Ahmad atau Muhammad amat digalakkan sempena mengambil nama junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. bagi anak perempuan pula nama Sii menjadi ikutan, iaitu mengambil nama wanita yang masyhur pada zaman nabi.

                         Kini, majlis kenduri memberikan nama tidak lagi diraikan kerana ibu bapa kebiasaannya menyediakan nama sebelum bayi dilahirkan. Hal ini bermakna, sebaik-baik sahaja bayi dilahirkan, ibu bapa terus membuat pilihan bama yang disediakan. Kenduriaqiqah dan cukur jambul pula dilakukan untuk meraikan kelahiran bayi dan sebagai tanda kesyukuran terhadap kesihatan ibu dan anak.


 Bagi masyarakat Melayu hari ini, ibu bapa lebih suka memberikan nama yang agak panjang. Ada pantang larang dalam budaya Melayu yang mengatakan bahawa tidak begitu elok memberikan nama yang panjang kepada anak. hal ini demikian kerana apabila anak dewasa, dipercayai mempunyai akal yang panjang atau dengan kata lain pandai menipu. Sebab itulah orang dahulu hanya menggunakan nama yang pendek sahaja. 

  Budaya memberikan nama timangan kepada anak yang dilahirkan adalah salah satu perkara biasa. Anak sulung selalunya dipanggil Along, anak kedua dipanggil Angah, diikuti dengan Alang, Anjang, Acik dan yang bongsu atau terakhir dipanggil Acu. kadangkala nama yang diberikan tidak sesuai dengan bayi itu hingga dia sentiasa menangis atau terkena "sawan tangis". Maka memberikan nama timangan adalah salah satu cara untuk mengelakkan bayi tersebut menangis sepanjang hari.
Artikel ini tiga muka surat
                             Terdapat perbezaan antara nama timangan dengan nama panggilan. Nama timangan selalunya diberikan ketika masih bayi tetapi nama panggilan pula diberikan apabila dewasa. Sebagai contoh, jika di kampung tersebut terdapat ramai orang yang mempunyai nama yang sama, maka untuk membezakan mereka adalah dengan memberikan nama panggilan atau gelaran.

                                    Bagi masyarakat Hindu pula, upacara memberikan nama kepada bayi yang baru lahir dinamakan Namsaran Samskar. Upacara ini berlangsung pada hari ke 12 selepas bayi dilahirkan. Sebenarnya upacara tersebut boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi mestilah selepas hari ke-10 dan sebelum menyambut ulang tahun yang pertama. Hari yang ke-12 juga dipercayai bermulanya ramalan nasib bayi tersebut.

                              Pada zaman dahulu, memberikan nama bayi juga perlu bergantung kepada kasta keluarga. Brahmin merupakan kasta tertinggi, diikuti dengan Kshatriya iaitu keluarga pahlawan. Vaisya pula kasta bagi golongan peniaga dan petani, manakala kasta yang rendah pula dikenali sebagai Shudra. Maka memberikan nama kepada bayi mengikut kasta adalah amat penting. Setiap nama mestilah mempunyai makna seperti Atul bermaksud tidak boleh dilawan, Abhay bermaksud tidak takut, dan Nityanand pula bermaksud kegembiraan berpanjangan.

                 
                                     Bagi masyarakat Cina, terdapat dua bahagian pada nama mereka, iaitu nama keluarga nenek moyang dan nama yang diberikan. Kepercayaan kuno mengatakan bahawa seseorang diberikan nama untuk memudahkan mereka mengecam individu pada waktu malam. Orang Cina juga percaya bahawa nama memainkan peranan yang penting dalam kehidupan. Bagi yang mempercayai ilmu astrologi, nama bayi diberikan berdasarkan tarikh dan waktu bayi dilahirkan. tahun kelahiran mengikut kalendar cina juga memainkan peranan penting. Nama bayi lelaki diberikan dengan harapan agar anak lelaki menjadiseorang yang penyayang, disukai ramai, berjasa kepada keluarga, bercita-cita tinggi dan mempunyai kesihatan yang baik. bayi perempuan pula diberikan nama dengan harapan menjadi seorang anak, ibu dan isteri yang baik serta pandai bergaul dengan masyarakat.

                                            Terdapat juga sesetengah kepercayaan orang cina memberikan nama bayi mereka sama dengan nama binatang seperti lembu, khinzir dan lain-lain lagi. Mereka percaya bahawa nama ini akan menjauhkan mereka daripada roh jahat dan boleh memberikan umur yang panjang. Orang Cina hanya akan memberikan nama kepada bayi yang dilahirkan ketika bayi itu berumur satu bulan. Sesetengah ibu bapa akan meminta datuk kepada bayiitu untuk memberikan nama atau ahli nujum akan bertindak sebagai orang yang "arif" dalam memberi nama kepada bayi. ahli nujum akan menilikkekurangan spiritual yang terdapat pada bayi berdasarkan elemen kayu, api, tanah, air dan besi. Hal ini amat perlu bagi bayi menjalani kehidupannya di dunia.

                                              Hari ini,upacara memberikan nama kepada bayi tidak lagi diraikan secara besar-besaran. Bagi masyarakat Melayu, terdapat banyak buku panduan memberikan nama kepada anak-anak mereka. kebanyakkan nama yang disyorkan mempunyai makna yang baik. Ibu bapa boleh memilih nama yang dirasakan sesuai dengan bayi mereka tanpa meminta pendapat ahli agama atau bidan.

                                           Kaum India yang beragama Hindu pula masih mengamalkan upacara Namskaran Samskar, tetapi diubah suai sedikit bagi kesesuaian zaman oden. Jika mengikut Grihyasutras, ada lima perkara yang perlu diambilkira ketika memberikan nama kepada bayi iaitu nama itu mesttilah indah dan senang disebut, nama bayi itu perlu mengikut nombor dan huruf vokal tertentu mengikut jantina bayi. Nama bayi juga mestilah mempunyai maksud kekayaan,kemasyuran atau kuasa serta mengikut kasta keluarga.

                                                   bagi kaum Cina, kepercayaan memberikan nama anak oleh ahli nujum semakin berkurangan. Ada ibu bapa yang memberikan nama anak mereka sendiri tanpa merujuk kepada sesiapa. Yang penting, kasih sayang yang dicurahkan kepada anak tidak bergantung kepada nama yang diberikan.


-TAMAT-


Perlukah saya beritahu nama gelaran saya? Tak perlulah, biarlah rahsia...hehehehe



No comments:

Post a Comment