Saturday 2 March 2013

Sapu Tangan Pengganti Diri


Artikel ini telah tersiar di ruangan Cermin Budaya, Majalah Dewan Budaya bulan Julai 2011

Menjadi salah satu tajuk utama di kulit majalah

Sapu tangan kian hilang
lebah sekawan terbang berdengung
hinggap di taman bunga kemboja
jangan dinda duduk termenung
sapu tangan pengganti kanda



Adakah penggunaan sapu tangan masih lagi digunakan di zaman teknologi yang serba canggih sebagai pengganti diri? Sapu tangan atau selampai merupakan sehelai kain bersegi empat yang digunakan untuk kebersihan peribadi. lazimnya, sapu tangan digunakan untuk mengelap tangan, mengesat peluh dan membersihkan hidung atau mulut.

            Kebanyakan sapu tangan diperbuat daripada kain kapas, kain sintetik, sutera atau linen. Hal ini kerana kain tersebut agak lembut sedikit jika dibandingkan dengan jenis kain yang lain.

                 Pada satu ketika dahulu, budaya membawa sapu tangan amat popular sekali. Lelaki mahupun wanita, memiliki sehelai sapu tangan dan hal itu menjadi satu kemestian. Sapu tangan sentiasa berada di dalam kocek seluar lelaki dan tas tangan wanita. Bagi kekasih yang ditinggalkan pasangannya apabila keluar merantau, sapu tangan dihadiahkan sebagai pengganti diri ataupun kenangan.

                 Sapu tangan turut memainkan peranan dalam adat istiadat perkahwinan Melayu lama. Ibu pengantin lelaki akan memberi sehelai sapu tangan putih kepada anaknya. Sapu tangan tersebut akan diletakkan diatas tempat pembaringan yang dikhaskan untuk pasangan pengantin memadu kasih pada malam pertama. Keesokan harinya, pengantin lelaki perlu memberikan kembali sapu tangan putih itu pada ibunya. Tujuannya adalah untuk mendapatkan kepastian atau bukti kukuh bahawa pengantin perempuan tersebut masih seorang perawan.

                           Sekiranya tiada apa-apa kesan di atas sapu tangan, dikhuatiri pengantin perempuan tersebut pernah melakukan hubungan kelamin sebelum berkahwin. Hal ini menjadi satu kesalahan bagi orang Melayuu yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Satu musyawarah akan dilakukan oleh kedua-dua belah keluarga pengantin untuk mendapatkan kepastian tentang perkara tersebut. Selepas mencapai kata sepakat, keputusan akan diambil sama ada pasangan pengantin boleh meneruskan kehidupan sebagai suami isteri ataupun bercerai.


 Dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melanau pula, sapu tangan menjadi salah satu aksesori wajib. Pemberian mas kahwin atau lebih dikenali sebagai penyekab dan berian, diberikan kepada pengantin perempuan. Sehelai sapu tangan berbenang emas dengan corak tertentu atau dikenali sebagai persarakap betabor yang merupakan salah satu aksesori yang dijadikan mas kahwin. Barang lain yang termasuk dalam penyekab ialah sembilan emas, sebilah pedang dan bekas yang diperbuat daripada kayu dipanggil tumoi.

                   Sapu tangan juga digunakan dalam perubatan mistik. Tarian koncong di sarawak merupakan satu bentuk tarian yang dipersembahkan untuk mengubat penyakit. Tarian koncong ditarikan oleh tiga orang penari wanita yang diiringi dengan nyanyian seorang atau dua orang lelaki. Penari wanita tersebut akan menari dalam bulatan. Sehelai sapu tangan dipegang di tangan kanan dalam gerakan menyerupai burung terbang seolah-olah untuk menghalau penyakit. Selain itu, tarian tersebut ditarikan bertujuan untuk menghiburkan si pesakit.

                             Bagi masyarakat Nias di Padang Sumatera, Indonesia, penggunaan sapu tangan dalam tarian balanse madam adalah sangat penting. Telapak tangan penari akan dialas dengan sapu tangan bagi mengelakkan gerakan yang bersentuhan antara telapak tangan penari lelaki dengan perempuan. Hal ini demikian kerana Islam yang sudah lama bertapak di Padang sumatera, tidak membenarkan pasangan bukan muhrim bersentuhan.

                               Sapu tangan juga merupakan aksesori busana bagi sesetengah kaum. Bagi masyarakat Chetti Melaka, kaum lelakinya memakai baju cekak musang, berkain pelekat, berselempang sehelai kain di bahu dan membawa sapu tangan yang dikenali dengan talpa. Masyarakat Nyonya Melaka pula yang sinonim berbaju kebaya, menjadikan sapu tangan sebagai lambang kewanitaan.

                                 Sapu tangan turut digunakan dalam latihan sukan. Contohnya bagi sukan lompat jauh. Walaupun tinggi lompatan dan pergerakan mendatar tidak mempunyai kaitan, tetapi teknik lompat jauh yang menggunakan gaya tendangan kayuh, menggunakan sapu tangan sebagai tanda berapa tinggi seseorang atlet itu mampu melompat. Sapu tangan di gantung pada kawasan mendarat setinggi mungkin dan atlet akan cuba menyentuhnya dengan kepala.

                                     Menurut sejarah, orang pertama yang menggunakan sapu tangan ialah Raja England, iaitu Raja Richard II. Baginda menaiki takhta pada tahun 1377 dan memerintah England sehingga tahun 1399. Berdasarkan sekeping dokumen yang ditulis oleh pengiring baginda, beliau menyebut sehelai kain bersegi empat digunakan oleh baginda untuk mengelap hidung.

                                     Pada mualanya, di Eropah, hanya masyarakat kelas atasan sahaja yang mampu memiliki sapu tangan. Apabila masuk abad ke-14, sapu tangan menjadi sebahagian daripada fesyen pakaian. Di Itali pula, idea sapu tangan ini muncul buat pertama kali apabila seorang wanita Venezia memotong jerami menjadi bentuk persegi dan menghiasinya dengan renda.

                                      Pada abad ke-18 di Versailles, Perancis, Mary Antoinnete menyatakan bahawa sapu tangan berbentuk segi empat tepat lebih mudah dibawa ke mana-mana. Manakala Raja Louis XVI, iaitu Raja Perancis yang memerintah dari tahun 1774 hingga tahun 1792, mengeluarkan peraturan tentang saiz persegi untuk semua sapu tangan yang digunakan dalam kawasan istana.

                                  Sapu tangan juga menjadi salah satu cara berkomunikasi. Ketika menonton teater, sapu tangan dilambai-lambaikan untuk memberikan sambutan hangat kepada pemain teater. Sapu tangan juga turut menjadi alat komunikasi ketika memikat hati si teruna dan dara. Apabila sapu tangan diletakkan di pipi sebelah kanan, bermaksud mengiakan sesuatu. Jika sapu tangan diletakkan secara sebaliknya pula bermaksud menidakkan sesuatu perkara tersebut. Jika si gadis meletakkan sapu tangan di dahi, hal ini memberikan isyarat kepada teman-temannya bahawa mereka sedang diperhatikan. Tetapi jika si gadis meletakkannya di bahu, hal ini bermakna si gadis itu ingin diekori. Apabila si gadis meletakkan sapu tangan di bibirnya pula sambil menatap mata si teruna, membawa maksud ingin berkenalan.

                                      Walau bagaimanapun, dalam dunia yang serba moden ini, penggunaan sapu tangan tidak lagi popular seperti dahulu. hal ini demikian kerana produk tisu atau sapu tangan pakai buang telah diperkenalkan semenjak tahun 1924. Tisu mendapat sambutan yang cukup luar biasa sehingga menyebabkan sapu tangan semakin dilupakan.

                                      Dalam adat isitiadat perkahwinan Melayu sekarang, tiada lagi diletakkan sapu tangan di pembaringan pasangan pengantin, tetapi ia dijadikan hadiah atau cenderahati daripada pengantin kepada tetamu yang hadir. Walaupun sapu tangan boleh dibasuh dan digunakan semula, penggunaan kertas tisu lebih praktikal dan lebih bersih.

                                    Kini jarang sekali kita melihat orang menyimpan sapu tangan di dalam kocek atau tas tangan. Jika ada sekali pun, sapu tangan lebih kepada fesyen busana lelaki yang diletakkan di kocek pada bahagian dada.   

No comments:

Post a Comment