Saturday 2 March 2013

Berbarut dan berbedung

Artikel ini telah tersiar dalam ruangan Warisan, Majalah Dewan Budaya bulan Oktober 2011



Berbarut atau berbengkung adalah amalan popular bagi masyarakat Melayu khususnya bagi ibu yang baru saja melahirkan anak. Sudah menjadi tradisi, bayi yang dilahirkan dipakaikan barut yang dipercayai dapat melindungi bahagian perut bayi dari mengalami kembung perut dan penyakit yang lain.  Berbarut atau berbengkung dilakukan ke atas bayi yang baru lahir seawal usia dua hari. Sementara itu berbedung pula dilakukan ke atas bayi tanpa mengira usia kelahiran. Walau bagaimanapun, dalam budaya Melayu, berbedung sering dilakukan pada usia bayi seminggu hingga enam bulan.



                         Terdapat peraturan yang perlu dipatuhi ketika memakaikan barut pada bayi. Sebelum memakaikan barut, bayi perlu dimandikan dengan air suam-suam kuku. Disebabkan tali pusat bayi belum tertanggal, maka tali pusat bayi perlu dikeringkan terlebih dahulu dengan menggunakan kain kapas yang lembut sebelum mengenakan pakaian pada bayi.



                                 Apabila bahagian tali pusat dikeringkan, perut bayi dilumurkan dengan minyak telon yang merupakan campuran tiga minyak iaitu minyak adas, kayu putih dan kelapa atau boleh juga menggunakan minyak kayu putih sahaja. Kemudian sehelai kain yang ukurannya sesuai dengan saiz badan bayi diikat kemas tetapi tidak terlalu ketat dan longgar.

                                       Tujuan pemakaian barut pada bayi adalah untuk mengelakkan daripada terkena penyakit kembung perut. Barut juga bertujuan bagi menjaga bahagian tali pusat yang belum tertanggal daripada terkena gigitan semut atau serangga kecil. Dengan memakai barut dapat memudahkan tali pusat tertanggal dengan cepat tanpa menyakitkan bayi.

                                       Kebiasaannya, ketika usia bayi tujuh hari, tali pusat tertanggal dengan sendirinya. Meskipun tali pusat sudah tertanggal, tidak bermakna bayi tidak perlu memakai barut. Dalam budaya Melayu, bayi tetap berbarut sehingga usianya meningkat dua bulan. Hal ini demikian kerana bahagian pusat bayi masih belum kering sepenuhnya. Selepas bayi dikenakan pakaian yang lengkap, sehelai kain yang lebar dililit pada bahagian tubuh bayi dan kain tersebut dijadikan kain bedung.
     
                                     Kain bedung digunakan untuk membalut keseluruhan tubuh bayi daripada paras bahu hingga kaki. Selepas kain dibalut di badan bayi, kedua-dua hujung kain dipertemukan di bahagian kaki dan hujung kain tersebut mengikat kedua-dua belah kaki bayi di paras buku lali.

                                      Berbedung bertujuan untuk meluruskan tubuh bayi terutama di bahagian kaki. Dipercayai bahawa berbedung dapat mengelakkan bayi yang meningkat dewasa berjalan mengengkang. Berbedung juga dapat menggalakkan bayi tidur dengan lena kerana bayi berasa seolah-olah dipeluk oleh ibunya. Sebelum dibedung, selalunya si ibu melakukan urutan di bahagian kaki bayi secara perlahanlahan.
                                     

                                     Berlainan pula barut untuk ibu yang baru lepas bersalin. Bagi masyarakat Melayu Jawa, pemakaian barut ketika dalam pantang merupakan perkara yang wajib dilakukan. Hal ini demikian kerana berbarut dipercayai dapat mempercepatkan penurunan berat badan, mengembalikan kedudukan organ terutama di bahagian punggung seperti ketika sebelum melahirkan anak, mempercepatkan pengaliran darah nifas atau darah kotor, mendapat postur badan yang ramping dan menjaga bahagian tulang belakang dan kaki.

                                    Dewasa ini terdapat banyak jenis atau fesyen barut yang diperkenalkan. Barut tradisional orang Jawa menggunakan kain barut yang diperbuat daripada kain belacu. Panjang barut boleh menjangkau sehingga 15 meter. Hal ini disebabkan barut dapat membalut bahagian tubuh iaitu dari bahagian perut sehingga kedua-dua paha. 

                                     Pada zaman dahulu, cara mengikat barut yang panjang adalah dengan mengikat hujung kain pada batang pohon kelapa. Bahagian hujung kain yang atu lagi perlu dililit di badan ibu yang hendak berbarut. Kemudian, ibu tersebut berpusing dan melilit badannya seketat yang mungkin sehingga sampai ke hujung kain yang diikat di pohon kelapa. Selepas itu ikatan pada batang pohon kelapa dibuka dan diikat kemas antara dua hujung kain, agar barut yang dipakai tidak terurai.

                                        Selepas mengenakan barut, si ibu perlu menjaga pemakanannya agar tidak selalu pergi ke tandas. Jika si ibu ingin membuang air, beliau perlu membuka keseluruhan kain barut dan memakainya kembali dengan cara yang sama. Sekiranya hari hujan, si ibu melilit hujung kain pada tiang rumah. Hal ini untuk memastikan si ibu mendapat lilitan barut yang ketat sehingga susah hendak melangkah. Semakin ketat barut yang dikenakan, semakin berkesan barut yang dipakai.

                                     Barut perlu dipakai selama 24 jam. Ia boleh dibuka ketika hendak mandi dan ketika hendak membuang air. Ketika ibu hendak menyusukan bayi atau hendak tidur, tidak dibenarkan berbaring. Si ibu perlu melakukan secara duduk dengan bersandar pada dua biji bantal. Kaki perlu diluruskan dan dilarang sama sekali untuk duduk bersimpuh atau bersila. Amalan ini perlu dilakukan selama masa berpantang iaitu sama ada 44 hari atau 100 hari.

                                   Berbeza dengan masyarakat Cina kuno, wanita dan bayi perempuan tidak berbarut. Walau bagaimanapun, mereka turut memakai bedung. Yang berbeza adalah bedung yang dipakai tidak dikenakan di badan tetapi dipakai di bahagian kaki. Pada zaman Dinasti Tang, anak-anak perempuan bangsawan seawal usia dua tahun turut memakai bedung pada kaki.

                                   Cara memakai bedung bagi masyarakat Cina adalah dengan merendam kaki di dalam air campuran darah haiwan dan tumbuhan yang terpilih dengan tujuan untuk melembutkan kulit. Rendaman dibuat selama dua jam. Kain bedung turut direndam di dalam air rendaman kaki. Kemudian, kain tersebut akan dibalut pada empat jari kaki lalu dilipat ke arah tapak kaki. Kain tersebut ditarik berlawanan arah menuju ke bahagian tumit sehingga jari kaki menekan tapak kaki lalu diikat dengan ketat. Apabila kain bedung kering, ikatannya bertambah ketat. Proses ini amat menyakitkan kerana tulang kaki kanak-kanak masih lembut dan mudah patah.

                                   Tradisi berbedung ini dikenali sebagai jinlian yang membawa maksud bunga teratai emas. Dipercayai bahawa bentuk kaki yang dibedung akan menyerupai bunga teratai yang belum mekar. Perbuatan ini menunjukkkan status kekayaan di mana golongan bangsawan sahaja yang dibenarkan untuk melakukan tradisi ini. Masyarakat Manchu dan hakka yang dikatakan daripada golongan bawahan tidak dibenar melakukannya. Berbedung juga adalah satu cara untuk berkahwin dengan lelaki yang kaya. Masyarakat Cina kuno juga percaya bahawa sekiranya tradisi ini tidak dilakukan, wanita tidak akan berkahwin.

                                      Berlainan pula dengan masyarakat jepun. Mereka tidak menitik beratkan pemakaian bedung, tetapi mementingkan amalan berbarut. Mereka percaya bahawa berbarut dapat memanaskan seluruh tubuh badan. Barut di Jepun di kenali sebagai haramaki. Bukan kaum wanita yang bebarut, malah semua golongan tidak mengira jantina dan usia menggunakan haramaki untuk menutupi perut mereka.

                                      Beberapa orang pakar di jepun telah melakukan eksperimen terhadapp tiga orang wanita dengan menggunakan tiga teknik yang berlainan bagi mencari teknik terbaik untuk mengelakkan kesejukkan pada bahagian kaki. Wanita A diarah untuk merendam kakinya dengan menggunakan air suam.Wanita B pula diarahkan untuk memakai stoking yang tebal manakala wanita C pula hanya memakai haramaki yang dibalut dari pusat hingga ke bahagian bawah punggung. Dengan menggunakan kamera teknologi inframerah, pakar dapat mengal pasti tahap suhu badan terutama pada bahagian kaki tiga wanita tersebut. Pakar mendapat wanita C mengalami suhu pada bahagian kaki yang agak tinggi berbanding dengan dua orang wanita yang turut sama dalam kajian tersebut. Kajian ini membuktikan bahawa berbarut penting ungutk menggalakkan perjalanan darah dalam badan yang boleh meningkatkan suhu tubuh badan. Hanya dengan memastikan bahagian perut hingga bawah punggung dibarut dengan kemas, dapat membantu keseluruhan sistem tubuh badan dalam mengekalkan tahap kepanasan secara natural.

No comments:

Post a Comment